Akademi Sukan Zenith ditubuhkan pada 1 Februari 2005. Program sukan yang ditawarkan di Akademi ini berteraskan konsep integrasi antara bidang pedagogi dengan disiplin sukan & kegiatan sukan. Masyarakat kini memberi harapan yang tinggi terhadap pencapaian sukan negara agar setanding dengan pencapaian negara-negara maju dan memerlukan pakar-pakar dalam bidang ini. Usaha memperbaiki pencapaian ahli-ahli sukan sebenarnya bermula dari peringkat sekolah. Maka itu, Akademi ini menawarkan pengajian meliputi bidang pendidikan Sains Sukan, Psikologi Sukan, Pendidikan Jasmani dan Sains Kejurulatihan bagi mencapai dan memenuhi harapan tersebut. Bagi peringkat Sarjana, fakulti ini menawarkan pengajian meliputi Kaedah Pengujian, Pengukuran, Pengajaran serta Penyelidikan Psikologi Sukan yang dapat memberi sumbangan terhadap peningkatan pencapaian ahli-ahli sukan negara ini.Misi Akademi Sukan Zenith ini ialah menyediakan pelajar-pelajar dengan skil-skil intelektual dan fizikal yang penting untuk maksimumkan potensi mereka.
Pendidikan Jasmani
Program ini menerapkan bakal graduan dengan kebolehan mengajar dan merancang pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani serta Pendidikan Kesihatan yang ditawarkan di sekolah dan institusi-institusi pendidikan. Ia merupakan pengajian yang mengabungkan aspek teori dan praktik pelbagai disiplin Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bagi melahirkan graduan yang bakal mendidik dan menyebarkan ilmu yang mementingkan aspek kesihatan jasmani di kalangan masyarakat. Graduan akan mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kemahiran profesional dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Graduan program ini juga berupaya membantu melahirkan masyarakat yang mengutamakan gaya hidup sihat sebagai asas membina kecemerlangan akademik dan kehidupan.
Sains Sukan
Program ini memberi tumpuan untuk melahirkan pendidik yang berkebolehan menjadi pengurus, pentadbir, dan jurulatih sukan yang berkesan. Program ini menghasilkan graduan berupaya mengaplikasikan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Pendidikan Sains Sukan. Penekanan program adalah kepada penguasaan ilmu pedagogi yang bersesuaian dengan profesionalisme seorang pakar sukan. seterusnya sebagai atlit sukan.Penumpuan khusus adalah kepada penerapan konten sains sukan yang terkini.
Kejurulatihan
Program ini mengabungkan aspek teori dan praktik pelbagai disiplin Sains Sukan serta kemahiran kejurulatihan yang khusus bagi melatih ahli sukan. Graduan akan berpeluang untuk menyokong ijazah yang diperoleh dengan kelayakan kejurulatihan sukan yang spesifik daripada badan-badan sukan kebangsaan. Program ini mampu melahirkan guru merangkap jurulatih yang berkesan dalam bidang Sains Kejurulatihan di sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi, organisasi kerajaan serta swasta dan berkemahiran dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan bidang Sains Sukan. Program ini turut menyediakan bakal jurulatih dan pengurus sukan yang mempunyai asas pendidikan Sains Sukan Gunaan yang dapat menggalakkan penyelidikan dan perundingan dalam bidang sukan untuk memenuhi keperluan baru pembangunan sukan negara.
No comments:
Post a Comment